Pertemuan 160 Ketua UMNO Bahagian tanda solidariti pada Najib

PASIR MAS - Pertemuan 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, termasuk dari Sabah pada malam Khamis merupakan tanda solidariti parti itu kepada bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak atau Bossku.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia turut memberikan isyarat perjuangan UMNO membela Bossku tidak pernah padam.

"Lebih tiga perempat ketua bahagian hadir dan kita berharap Bossku mendapat pengadilan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pasir Mas di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, UMNO berharap Yang Dipertuan Agong dapat mempertimbangkan pelaksanaan Titah Adendum tersebut.

Ujarnya, UMNO akan terus berusaha, berikhtiar serta berdoa supaya Bossku mendapat pengadilan sewajarnya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy memberitahu, sikap UMNO yang tidak bersungguh-sungguh membela Bossku hanyalah propaganda yang dimainkan oleh pembangkang.

Kata beliau, UMNO ketika ini sehabis daya berusaha bagi memastikan pelaksanaan Titah Adendum agar Najib dapat menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.

Sinar Harian pada Khamis malam melaporkan, seramai 160 ketua UMNO bahagian sebulat suara mendesak pelaksanaan Titah Adendum agar Najib dapat menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.