SHAH ALAM - Pas akan meneliti cadangan penubuhan Barisan Pembangkang Bersatu yang bertujuan bagi memperkukuh suara dan gerak kerja blok pembangkang dalam menghadapi pelbagai isu rakyat dan negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden parti itu terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.
Menurut beliau, perkara tersebut juga diharap akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sebelum melibatkan pihak lain.
“Kewujudan pakatan pembangkang setakat ini belum dibincang dalam PN.
“Sebagaimana dipersetujui sebelum ini, apa sahaja perkara melibatkan dasar akan dibincang terlebih dahulu sebelum melibatkan pihak lain.
“Tetapi secara asasnya, pembangkang perlu bersatu dalam memperjuangkan nasib rakyat serta menangani pelbagai kemelut yang sedang berlaku dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan akan mewujudkan Barisan Pembangkang Bersatu untuk membincangkan dan mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden PN yang dijadualkan pada hujung minggu ini.
Malah Mohamed Azmin memaklumkan, para pemimpin parti turut bersetuju agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai usaha untuk merealisasikan kerjasama tersebut.
Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menyambut baik cadangan penubuhan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang amat wajar serta sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal.
“Penubuhan pakatan seperti ini sepatutnya sudah lama diwujudkan supaya segala hal berkaitan kepentingan rakyat dan strategi politik dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan sokongan penuh terhadap usaha tersebut dan berharap agar ia dapat diperhalusi segera dalam masa terdekat.
“Dalam situasi politik semasa yang mencabar, pembangkang memerlukan satu kesatuan strategik bagi memastikan suara rakyat tidak tenggelam dan agenda perubahan dapat digerakkan secara lebih mantap,” katanya.