Johari tolak spekulasi bakal calon PM ke-11

KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menepis spekulasi kononnya beliau bakal menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-11.

Johari menegaskan, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar masih stabil dan tidak perlu diganggu oleh mana-mana pihak.

"Saya nak beritahu, Kerajaan Perpaduan ini aman damai dan jangan ganggu gugat.

"Kalau tak puas hati, tunggu pilihan raya akan datang,” katanya ketika mengulas desas-desus panas yang mengaitkan namanya dengan jawatan tertinggi negara itu.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama peniaga dan penduduk berhubung isu cadangan perobohan beberapa unit gerai Blok E 16, Jalan 2/76 Desa Pandan di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen terutama daripada UMNO terhadap beliau sebagai Perdana Menteri, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan ia tidak berasas. 

"UMNO ada hanya 26 kerusi (Parlimen) sahaja," jawabnya ringkas.

Desas-desus mengenai perubahan kepimpinan negara semakin hangat diperkatakan susulan ketidakpuasan hati beberapa pemimpin politik.

Nama Johari dikaitkan dalam kalangan pemerhati politik apabila disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi menerajui Putrajaya jika berlaku peralihan kuasa.