GEORGE TOWN - Dua Ketua UMNO Bahagian di negeri ini mengesahkan satu perjumpaan khas dibuat melalui Badan Perhubungan UMNO negeri, namun tidak pasti agenda sebenar pertemuan itu.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, perjumpaan khas itu mencetuskan tanda tanya berikutan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang dalam rangka lawatan ke luar negara.
“Saya dimaklumkan akan ada perjumpaan ini dan (saya) mengesahkan akan hadir. Apa agenda dan tujuan perjumpaan saya tidak pasti.
“Dalam jemputan pun tidak dinyatakan secara jelas tujuan (jemputan) dan siapa yang menjemput. Bagaimanapun, apabila jemputan dibuat melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri, maka ia boleh diterjemahkan sebagai perjumpaan sah dan direstui,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambahnya, sebagai Ketua UMNO Bahagian, beliau hanya menurut perintah selain akan menyokong sekiranya ia berkaitan Titah Adendum.
“Kami hanya menurut perintah, namun sekiranya tujuan perjumpaan adalah untuk mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang sudah diakui wujud, saya yakin seluruh kepimpinan UMNO akan bersatu hati menyokong usaha ini.
“Keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu ditegakkan tanpa berselindung di sebalik apa jua alasan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Ir Mansor Musa juga mengesahkan akan hadir ke himpunan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun tidak diberitahu agenda sebenar, pihaknya akan membuat satu usul mendesak kerajaan melaksanakan segera Titah Adendum.
“Kita akan buat usul supaya kerajaan segera melaksanakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
“Usul ini menegaskan titah tersebut merupakan manifestasi penghormatan tertinggi terhadap institusi diraja dan simbol keadilan dalam sistem pemerintahan berperlembagaan negara,” katanya.
Tambah Mansor, pelaksanaan Titah Adendum mencerminkan keprihatinan terhadap hak asasi manusia dan prinsip keadilan sejagat seperti diperuntukkan dalam Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Usul turut menyentuh keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan dan keabsahan Titah Adendum seperti diperakukan Istana Pahang pada 4 Januari lalu,” ujarnya.