Kerajaan didakwa alih isu kontroversi dengan 'pengumuman besar' – Gerakan

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyambut baik sebarang pengumuman kerajaan yang membawa manfaat kepada rakyat, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

Namun begitu, Pemuda Gerakan mempersoalkan waktu dan cara pengumuman tersebut dibuat yang disifatkan seolah-olah bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu kontroversi membabitkan pelantikan kehakiman.

Setiausaha Agung Pemuda parti itu, Andy Tan Hum Wei berkata, pengumuman itu dibuat ketika kerajaan sedang berdepan pelbagai kritikan dan persoalan daripada rakyat berhubung integriti institusi kehakiman negara.

"Kenapa nak diumumkan di tengah-tengah kontroversi yang sedang membelenggu kerajaan? Adakah ia merupakan taktik untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kelemahan Kerajaan Madani?" soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, rakyat tidak mudah lupa dengan pelbagai bebanan yang ditanggung dalam tempoh terdekat ini termasuk kenaikan tarif elektrik dan peluasan cukai perkhidmatan (SST) yang menjejaskan golongan B40 dan M40.

“Dalam masa yang sama, kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman turut tergugat dengan dakwaan campur tangan politik yang kian hangat dibincangkan,” katanya.

Menurutnya lagi, Pemuda Gerakan ingin mengingatkan Kerajaan Madani bahawa rakyat hari ini lebih matang, celik maklumat dan berani bersuara, serta tidak mudah termakan dengan ‘gula-gula politik’ yang bersifat sementara.

“Rakyat menuntut ketelusan, keadilan dan kejujuran, bukan sandiwara politik yang kosong daripada komitmen sebenar. Adakah Kerajaan Madani benar-benar bekerja untuk rakyat, atau sedang mempermainkan kepercayaan mereka?

“Soalan ini perlu dijawab dengan tindakan, bukan sekadar pengumuman manis,” tegasnya.