KOTA BHARU - Himpunan yang dijadualkan berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Khamis ini bukan bertujuan untuk mendesak pelaksanaan Titah Adendum berhubung Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya sesi penerangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Berkumpul Khamis ini memang betul, tapi bukan untuk desakan. Ia hanya penerangan bersama Presiden.
"Tiada agenda untuk mendesak pelaksanaan Titah Adendum seperti yang tersebar,” kata sumber UMNO Kelantan pada Selasa.
Sebelum itu, tular dakwaan kononnya semua Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara akan berhimpun di ibu pejabat parti itu bagi menyatakan pendirian mendesak kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembebasan penuh bekas Perdana Menteri tersebut.
Bagaimanapun, sumber menegaskan UMNO kekal menghormati saluran undang-undang dan institusi diraja dalam sebarang isu melibatkan kepentingan parti dan negara.