PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan "tanda bagus" kepada pengamal media sejurus beliau selesai mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung hampir dua jam mulai jam 3.45 petang di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Isnin.
Anwar menunjukkan isyarat itu sejurus selepas beliau meninggalkan premis Seri Perdana kepada pengamal media yang sudah berada di pintu utama kompleks seawal jam 2 petang tadi.
Sambil tersenyum, pemimpin utama negara itu secara spontan berkata, "very good... ke Shah Alam..."
Terdahulu, PM Anwar dan pemimpin-pemimpin PH mengadakan perjumpaan tertutup untuk membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.
Pertemuan tertutup ini juga merupakan kesinambungan kepada sesi bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai.
Antara pemimpin-pemimpin PH yang hadir ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Turut kelihatan Ketua Setiausaha PH yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan tidak hadir dalam taklimat itu. - Awani