Anwar bertemu Ahli Parlimen PH, bincang isu semasa

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, bagi membincangkan beberapa perkara penting menjelang sidang Parlimen yang akan datang.

Kenderaan membawa Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH itu, dilihat memasuki pekarangan Seri Perdana sekitar 4.30 petang.

Terdahulu, pada 3.45 petang, kenderaan yang membawa ahli Parlimen dan Menteri PH mula memasuki Kompleks Seri Perdana.

Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut kelihatan Ketua Setiausaha PH yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pertemuan itu merupakan kesinambungan kepada sesi bersama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai, bagi menjelaskan beberapa isu semasa, termasuk mengenai cukai, khabar angin subsidi petrol RON95 dan isu badan kehakiman. - Bernama