SHAH ALAM - Ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya menandatangani petisyen dalam talian bagi menyokong usaha mempertahankan kebebasan serta integriti institusi kehakiman di negara ini.
Gesaan itu dibuat bekas Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Majlis Peguam Malaysia, di Putrajaya pada Isnin.
"Alhamdulillah, PKR raikan kepelbagaian pandangan dan terbuka dengan kritikan.
"Saya harap ketua-ketua cabang boleh tandatangan petisyen tuntut siasatan terbuka dan bebas isu kehakiman. Bukan nak habiskan masa nak gantung sembilan ahli parlimen PKR," ciapnya di laman sosial X pada Isnin.
Terdahulu, Nurul Izzah menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahankan kebebasan badan kehakiman apabila turun menyertai perhimpunan berkenaan.
Beliau dalam masa sama menegaskan, hak berhimpun secara aman ialah jaminan Perlembagaan Persekutuan dan turut didukung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jumaat lalu, bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli melancarkan petisyen dalam talian dengan mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.
Dalampada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dilapor berkata, parti kini sedang meneliti gesaan untuk menyiasat sembilan ahli parlimennya secara tatatertib berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.
Menurutnya, parti tersebut juga sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti agar sembilan ahli parlimen itu digantung keahlian sementara susulan insiden tersebut.
Nik Nazmi dan Rafizi antara sembilan ahli Parlimen PKR yang menyertai sidang media secara terbuka bagi menggesa penubuhan RCI berkenaan.