Saya duduk di belakang, ramai yang datang - Fahmi

PUTRAJAYA- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan beliau tidak mempunyai senarai kehadiran Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ramai ahli Parlimen hadir pada mesyuarat yang bermula jam 4.30 petang.

"Saya tidak ada senarai. Saya duduk di belakang, ramai yang datang," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan pemberita mengenai kehadiran Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ke mesyuarat berkenaan.

Difahamkan bekas Menteri Ekonomi itu tidak hadir pada mesyuarat berkenaan manakala Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi memaklumkan dirinya tidak hadir kerana berada di Singapura.

Pertemuan yang berlangsung lebih satu jam itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut kelihatan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Amiruddin Harun dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.

Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu.

Ia bertujuan menyelaras pemahaman dalam kalangan wakil rakyat PH berhubung beberapa isu semasa yang menjadi perhatian umum.

Ia termasuk cadangan dasar percukaian, spekulasi penstrukturan semula subsidi RON95, serta proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang sedang berlangsung.