IPOH – Kenyataan yang dikeluarkan secara terbuka oleh segelintir anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) harus disertai dengan rasa tanggungjawab, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Menurut beliau, perkara tersebut tidak sewajarnya mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti dan salah tanggap dalam kalangan rakyat.
“PKR sebagai sebuah parti terbuka mempunyai saluran yang jelas untuk sebarang aduan.
“Jika ada sebarang kebimbangan atau kegusaran, ia harus ditangani secara berhemah melalui prosedur sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI 2025 di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Tambun, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan agar sembilan Ahli Parlimen parti itu digantung keahlian berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.
Muhammad Kamil berkata, dakwaan kononnya wujud pelanggaran undang-undang atau campur tangan dalam pelantikan kehakiman adalah tidak berasas dan setakat ini tidak disokong dengan sebarang bukti kukuh.
“Kita sekarang ini tidak ada kemelut. Yang ada hanyalah orang-orang yang kalut.
“Jadi berkenaan perkara itu (desakan gantung keahlian), kita serah kepada pimpinan. Saya ingat, Setiausaha Agung telah pun mengeluarkan kenyataan berkaitan hal tersebut,” katanya.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan ahli Parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.
Tindakan tersebut mengundang reaksi 19 ketua cabang PKR Johor yang mahu kesemua sembilan Ahli Parlimen berkenaan digantung kerana didakwa melanggar disiplin parti serta boleh menjejaskan imej Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Tambun memberi galakan terhadap pelaksanaan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani sebagai platform untuk memperkukuh ukhuwah dalam kalangan komuniti setempat.
“Mereka yang hadir lebih 10,000 orang dan insya-ALLAH kita fikir tiada masalah untuk kita perluaskan penganjurannya di kawasan lain pula.
“Saat ini ada situasi-situasi hangat, kadangkala menyebabkan kita di bawah ini terikut-ikut. Kita lupa bahawa kekuatan negara ini adalah perpaduan dan itu perlu ditekankan serta diperingatkan kepada masyarakat,” katanya.
Antara acara sampingan yang diadakan dalam karnival berkenaan termasuk program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’, Tambun Fun Run sejauh lima kilometer, kenduri rakyat, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, serta persembahan nasyid oleh kumpulan ternama seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.
Turut berlangsung sepanjang hari ialah konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma serta perkhidmatan seperti gunting rambut, penukaran minyak hitam percuma dan cabutan bertuah.
Pada sebelah malam pula, acara Malam Mahabbah MADANI dihangatkan dengan pertandingan nasyid antara sekolah serta Forum Hijrah yang menampilkan pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa, dikendalikan oleh moderator Ustaz Hariri Daud.