AMK bantah pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyuarakan bantahan terhadap pencalonan tokoh konservatif Amerika Syarikat, Nick Adams sebagai Duta Besar baharu ke Malaysia.

Menurut Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin, pencalonan Adams dianggap tidak sesuai kerana latar belakangnya yang dikaitkan dengan fahaman politik ekstrem kanan serta kecenderungan menyemai retorik berunsur perpecahan.

“Pendekatan beliau jelas bertentangan dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang dipegang oleh rakyat serta Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak untuk menolak atau menyuarakan kebimbangan terhadap pencalonan mana-mana diplomat asing yang dilihat tidak selari dengan dasar luar negara ini atau berpotensi menjejaskan sensitiviti tempatan.

“Perkara ini selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik. Penolakan ini bukan bermaksud permusuhan, tetapi sebagai usaha untuk mempertahankan hubungan dua hala yang sihat, seimbang dan saling menghormati,” katanya.

Sehubungan itu, AMK akan menghantar memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyuarakan pendirian rasmi pergerakan itu terhadap pencalonan tersebut.

AMK turut mendesak agar Washington mencalonkan individu lain yang lebih berwibawa, moderat dan menghormati nilai keadilan sejagat bagi memastikan hubungan diplomatik Malaysia–Amerika Syarikat kekal kukuh dan konstruktif.

Pada 11 Julai 2025, Presiden Donald Trump mengumumkan pencalonan Nick Adams yang juga bekas penggubal dasar dan Datuk Bandar sebuah bandar di Australia sebagai calon Duta Besar ke Malaysia.

Adams terkenal kerana sikap anti-wanita, Islamofobia serta penolakan terhadap nilai kepelbagaian dan toleransi, yang bertentangan dengan nilai masyarakat Malaysia.

Ini termasuklah beliau bersuara lantang menolak hak transgender serta mengkritik budaya ‘woke’.

Pemuda Amanah menerusi Pengerusi Biro Antarabangsanya, Mus’ab Muzahar berkata, latar belakang dan kecenderungan ideologi Adams jelas bertentangan dengan nilai yang dipegang rakyat Malaysia dan seharusnya tidak diberi ruang dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.