IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mencadangkan agar Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan sistem pendaftaran automatik ibadah haji kepada umat Islam di negara ini.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, pendaftaran automatik itu boleh dilaksanakan bagi setiap pembukaan akaun TH apabila simpanan mencecah minimum RM1,300.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja memudahkan urusan umat Islam, terutamanya generasi muda malah dapat mengatasi masalah ramai yang terlepas peluang mendaftar haji kerana tidak mengetahui prosedur sedia ada yang memerlukan pendaftaran secara manual.
“Ramai anak muda membuka akaun TH seawal usia, namun tidak menyedari bahawa mereka perlu membuat pendaftaran secara berasingan untuk dimasukkan dalam senarai giliran haji.
“Dengan sistem automatik, setiap akaun baharu secara langsung akan didaftarkan apabila syarat simpanan minimum RM1,300 dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu mempercepatkan giliran menunaikan haji dan mengurangkan jurang maklumat dalam kalangan pendeposit.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga seiring dengan misi TH untuk menjadi institusi yang inklusif, efisien dan memudahkan umat Islam merancang ibadah sejak awal.
“Cadangan ini tidak menafikan keperluan menabung, malah memberi nilai tambah kepada perkhidmatan TH yang lebih proaktif dan mesra rakyat.
“Sistem ini juga boleh dilengkapi dengan pilihan ‘opt-out’ bagi mereka yang belum bersedia,” katanya lagi.
Jelas Khairol Najib, Pemuda Amanah Perak sedia berbincang dengan pihak TH dan agensi berkaitan bagi merealisasikan cadangan berkenaan demi manfaat umat Islam di seluruh negara.
Ketika ini, pendaftaran haji perlu dilakukan secara manual melalui beberapa saluran yang disediakan oleh TH.