Lantikan hakim mesti dalam kalangan berintegriti - Muhyiddin

SHAH ALAM – Pelantikan hakim mestilah dalam kalangan individu yang berintegriti kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat berat malah keputusan yang dibuat boleh menentukan kebebasan atau hidup mati seseorang.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seorang hakim yang berintegriti akan membuat keputusan berlandaskan undang-undang dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour).

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, keadilan hanya akan tertegak apabila mahkamah bebas dan hakim memiliki nilai integriti dalam diri.

“Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama dalam pelantikan seorang hakim. Ini bermakna, hakim perlulah diteliti dan dinilai berdasarkan aspek integriti.

“Sekiranya integriti tidak menjadi asas pertimbangan penting dalam pelantikan hakim, keadilan boleh dijual beli.

“Apatah lagi jika terdapat dakwaan terlibat dengan masalah integriti tetapi tetap dilantik ke jawatan lebih tinggi dalam badan kehakiman,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, satu dokumen yang dikatakan petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh Mei lalu dilaporkan tular di media sosial, mencetuskan persoalan mengenai ketelusan serta kebebasan institusi kehakiman.