KOTA TINGGI – Perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman yang dijadual pada Isnin disifatkan sebagai hak badan itu dalam sistem demokrasi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua rakyat Malaysia berhak berhimpun atau berarak mengikut peruntukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi saya, itulah demokrasi. Itu hak mereka (Majlis Peguam) jika mereka nak berarak.
"Namun, saya pasti selaku peguam yang kebanyakannya profesional, mereka maklum tentang Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
"Akta JAC 2009 ini lebih kepada satu akta yang menepis, menilai serta mengatur nama-nama (kekosongan jawatan badan kehakiman).
"Akta ini lebih kepada cadangan-cadangan nama (hakim), dan bukan 'finalization' (kata pemutus)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang di Desaru pada Ahad.
Selasa lalu, Majlis Peguam Malaysia dilaporkan akan menganjurkan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence), yang dijadualkan diadakan pada Isnin.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata, badan berkenaan akan menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk: mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman, dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO meminta semua pihak merujuk hansard Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, memegang jawatan berkenaan.
"Ketika itu, Mohamed Nazri memaklumkan bahawa Akta JAC itu lebih kepada pentadbiran, dan ia tidak mengikat.
"Kalau niat nak mengikat, kena dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapi isunya Perkara 122B masih tidak dipinda.
"Perkara berkenaan tidak menyebut bahawa adanya Akta JAC yang wajib mengikat. Jadi, jika kita tafsirkan undang-undang ini, dia membezakan antara duanya (Akta JAC dan Perkara 122B)," katanya.