'Saya malas layan MCA’ - Anthony Loke

SEREMBAN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook enggan melayan kenyataan MCA yang mendakwa DAP mengkhianati mandat pengundi Cina selepas memenangi pilihan raya.

Beliau sebaliknya berkata, tumpuan DAP kini adalah untuk terus bekerja demi rakyat dan menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian semasa pilihan raya nanti.

“Saya malas nak layan MCA... tak perlu layan banyak. Kita buat kerja kita, rakyat akan tahu menilai. MCA tak perlu sibuk nak menilai kita, itu bukan tugas mereka. Yang menilai kita adalah pengundi dan rakyat. Nanti masa pilihan raya, kita akan tahu,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis hi-tea bersama pelajar cemerlang STPM di Klana Resort Seremban.

Pada Sabtu, MCA mengeluarkan kenyataan menuduh DAP bergantung sepenuhnya kepada undi masyarakat Cina untuk menang pilihan raya, namun didakwa mengabaikan mereka selepas memperoleh mandat.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, sikap DAP sering mungkir janji dan tidak mengendahkan suara rakyat membuktikan parti itu hanya memperdaya pengundi demi meraih sokongan.

Beliau turut menyatakan bahawa DAP kini seolah-olah meninggalkan masyarakat Cina dalam hampir semua isu besar negara, dan menyifatkannya sebagai fakta yang tidak boleh disangkal.