SHAH ALAM – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus dikurniakan kesihatan yang baik.
Menerusi hantaran di aplikasi TikTok, Mohd Radzi menitip doa terbabit berikutan Dr Mahathir kini dilaporkan sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan pagi Ahad.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan meninggalkan program 'Picnic & Potluck' lebih awal kerana beliau sedikit keletihan dan sedang berehat di IJN.
"Saya doakan semoga Dr Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat sentiasa menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk agama, bangsa dan negara," katanya.
Terdahulu, pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff mengesahkan Dr Mahathir kini sedang berehat di IJN selepas mengalami keletihan pagi tadi.
Menurut Sufi, Dr Mahathir Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi selepas menghadiri program Picnic & Potluck di Putrajaya dan dijangka keluar dari IJN pada petang hari sama.