TAPAH - Barisan Nasional (BN) tidak akan mengulangi kesilapan silam dengan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya yakin BN akan meneruskan kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) seperti yang dipersetujui di peringkat nasional.
"Kita ada pengalaman silam yang sangat menyedihkan. Kekuatan BN hanya di kawasan majoriti Melayu luar bandar, tetapi di sana sudah ada Perikatan Nasional (PN) yang kebanyakan pengundinya adalah Melayu.
"Sejarah sudah tersurat, apabila kita pergi solo akan berlaku tiga penjuru yang menyebabkan sebahagian daripada orang Melayu menyokong BN, sebahagian lagi PN dan PH.
"Jika ini berlaku, maka kita akan ulang sejarah PRU15 lalu dan yang menjadi mangsa adalah BN," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Ahad.
Menurut beliau, keputusan untuk bertanding menggunakan lambang BN tidak bermaksud gabungan itu bergerak secara bersendirian, tetapi mengikut pemahaman sedia ada antara BN dan PH yang terbukti berjaya dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
"Kita pergi atas lambang BN. PH pula atas lambang PH. Persefahamannya ialah di kerusi yang BN bertanding, PH tidak akan letak calon. Di kerusi PH pula, BN tidak akan bertanding.
"Maka yang berlaku ialah pertandingan dua penjuru sahaja antara BN atau PH menentang PN. Kedua-dua pihak, BN dan PH akan saling menyokong antara satu sama lain seperti yang telah kita lihat dalam PRK sebelum ini," jelasnya.
Menteri Besar Perak itu berkata, matlamat utama BN dan PH adalah untuk memastikan kestabilan politik negara berterusan dan PRU16 tidak berakhir dengan kebuntuan politik seperti yang berlaku selepas PRU15.
"Akhirnya, kalau BN menang di kerusi yang ditandingi, PH menang di kerusi mereka, kita tetap akan bentuk kerajaan bersama seperti sekarang," katanya.