Puteri UMNO Beluran bawa dua usul ke PAU

BELURAN – Puteri UMNO Bahagian Beluran bakal membawa dua usul penting ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ogos depan membabitkan cadangan menaikkan had umur keahlian sayap itu serta desakan terhadap kekejaman rejim Israel.

Ketua Puteri UMNO Beluran, Nur Dzerra Areesha Norkhidzal berkata, usul pertama mencadangkan supaya had umur keahlian Puteri dinaikkan daripada 35 tahun bagi membolehkan lebih ramai pemimpin muda membina kematangan, pengalaman serta kekuatan dari segi fizikal, mental dan kewangan sebelum melangkah ke peringkat kepimpinan parti yang lebih tinggi.

"Puteri memerlukan lebih masa untuk digilap sebagai pelapis parti. Kita mahu pemimpin muda yang bukan sahaja bersemangat, tetapi juga matang serta benar-benar bersedia dari semua aspek," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Beluran di sini pada Sabtu.

Menurutnya, usul kedua pula menyentuh isu kemanusiaan antarabangsa, di mana Puteri UMNO Beluran mendesak agar kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan serta-merta.

"Kita mengecam pembunuhan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa. Ini jenayah perang yang tidak boleh dimaafkan.

"Dunia tidak harus berdiam diri. Israel dan sekutunya mesti dibawa ke muka pengadilan antarabangsa," katanya.

Nur Dzerra menegaskan, Puteri UMNO Beluran akan memastikan kedua-dua usul itu dibentangkan di peringkat nasional kerana ia mencerminkan suara akar umbi yang peka terhadap keperluan organisasi parti serta isu global.

Dalam ucapannya juga, beliau sempat menitipkan penghargaan kepada semua perwakilan yang hadir dan meminta agar mereka pulang ke kawasan masing-masing dengan selamat.

"Terima kasih atas komitmen dan keikhlasan saudari semua. Kita teruskan kerja secara satu pasukan demi kekuatan parti,” katanya.