SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika dakwaan tersebut terbukti benar dan tidak dapat disangkal, ia boleh memberi kesan kepada integriti institusi kehakiman serta kedudukan Perdana Menteri itu sendiri.
"Perdana Menteri didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat," katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, satu dokumen yang dikatakan petikan minit mesyuarat JAC bertarikh Mei lalu dilaporkan tular di media sosial, mencetuskan persoalan mengenai ketelusan serta kebebasan institusi kehakiman.
Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha mencemarkan institusi kehakiman perlu diadili tanpa sebarang prejudis.
"Amaran turut diberikan kepada seluruh warga institusi kehakiman, khususnya para hakim utama agar tidak bersekongkol dengan sebarang usaha untuk merosakkan sistem keadilan.
"Keadilan apabila ditegakkan kelak, tidak akan mengenal darjat atau kedudukan sesiapa," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam hantaran di Facebook berkata, dakwaan tersebut juga menyebabkan krisis kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri menjadi semakin parah.
**media[3199889]**
Ulas beliau, ia termasuk dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, ekonomi, penguatkuasaan serta perundangan dalam negara.
"Anwar telah gagal mempertahankan kebebasan institusi dan kini menjadi punca kepada krisis keyakinan rakyat terhadap seluruh sistem negara," katanya.
Ujar Tun Faisal, satu siasatan bebas dan telus perlu dilakukan terhadap dakwaan kebocoran kandungan minit mesyuarat JAC itu.
"Kebangkitan rakyat harus dilipatgandakan. Semua rakyat yang cintakan keadilan serta mahu institusi kehakiman dan negara diselamatkan perlu turun beramai-ramai ke Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
"Kita semua sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab menghentikan sel barah yang mengganas dan menjangkiti seluruh sistem dalam negara dan menyelamatkan negara yang kita kasihi," katanya.