IPOH – Hasrat Barisan Nasional (BN) yang menyatakan kesediaan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai tidak wajar dan boleh menjejaskan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, keputusan sedemikian bukan sahaja akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, malah berisiko mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen kerajaan sedia ada.
Menurutnya, walaupun BN menggunakan prestasi Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka dan Johor sebagai asas hujah untuk bergerak sendiri, pendekatan itu boleh menjadi senjata makan tuan sekiranya dinilai menggunakan logik yang sama.
“Benar, PH tidak menang banyak kerusi di Melaka dan Johor, namun jika analogi itu digunakan, adakah PH pula boleh bertanding solo di Selangor dan Pulau Pinang memandangkan BN tidak menang banyak kerusi di kedua-dua negeri itu?
“Sudah tentu jawapannya tidak. Adakah hanya di Kelantan dan Terengganu sahaja Perpaduan boleh bekerjasama sebab rata-ratanya kalah teruk?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Kar Hing yang juga Ketua PKR Cabang Gopeng berkata, biarpun kenyataan itu dibuat atas kepentingan strategi dalaman UMNO atau rundingan bersama PH-BN, beliau menegaskan bahawa ia boleh mencalarkan hubungan sesama komponen kerajaan.
Jelas beliau, rundingan kerusi seharusnya dibuat secara tertutup dan penuh hikmah tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika rundingan masih berlangsung, sebaiknya kita tunggu dengan penuh kesabaran bagi mengelakkan persepsi yang negatif dan natijah buruk ke atas kestabilan politik negara.
“Saya nyatakan pandangan ini bukan untuk bermusuh dengan kepimpinan UMNO, tetapi kerana saya percaya rakyat sedang menilai setiap langkah kita. Kepercayaan rakyat jauh lebih penting,” katanya.
Media pada Sabtu melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka memaklumkan bahawa BN bersedia untuk bertanding secara solo sekiranya tiada keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Melaka.