IPOH – UMNO Perak menyifatkan pelaksanaan Titah Adendum berhubung hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai langkah yang mencerminkan semangat perikemanusiaan dan keadilan dalam kerangka undang-undang negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Titah Adendum tersebut bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi mencerminkan kematangan sistem kenegaraan kita yang menjunjung prinsip keadilan dan ihsan dalam kerangka undang-undang yang sah.
Menurut beliau, penjelasan rasmi oleh Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan dan kesahan Titah Adendum itu telah memperkukuh keyakinan terhadap prinsip Raja Berperlembagaan serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai parti yang berteraskan kesetiaan kepada Raja dan Negara, UMNO Perak menegaskan bahawa titah diraja yang diperkenan secara sah perlu dilaksanakan dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.
"Justeru, UMNO negeri Perak menyeru kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, agar mengambil tindakan segera melaksanakan titah ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Saarani berkata, penjelasan yang didedahkan itu juga menjernihkan kekeliruan yang timbul dalam ruang awam sebelum ini.
Menurutnya, pelaksanaan Titah Adendum itu juga penting bukan sahaja demi menjunjung institusi tertinggi negara malah sebagai lambang keadilan yang seimbang antara undang-undang dan perikemanusiaan.
Jelasnya, UMNO Perak akan terus teguh mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja demi kestabilan, keharmonian dan masa depan negara.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, menyatakan bahawa AGC mempersoalkan prosedur pengemukaan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.