'Krisis lebih serius jika PKR gagal tangani kumpulan Rafizi'

SHAH ALAM - PKR dijangka berdepan krisis politik yang serius, bahkan mungkin lebih parah berbanding ‘Langkah Sheraton’ susulan gerakan baharu oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan lagi wakil rakyat parti.

Penganalisis Politik, Dr G Manimaran berkata, perkembangan tersebut juga dilihat sama seperti situasi yang dialami oleh UMNO pada tahun 1986 hingga 1988 apabila wujud dua kem dalam parti.

Justeru menurutnya, jika PKR gagal menanganinya dengan bijak dan berkesan, krisis berkenaan boleh membawa kepada perpecahan dan memberi impak buruk ketika Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

“Pada pandangan saya PKR berhadapan dengan krisis politik yang amat besar dan serius dalam sejarah parti itu. Lebih serius berbanding pada tahun 2020 apabila landskap politik negara berhadapan dengan impak Langkah Sheraton.

“Pada keseluruhannya apa yang dialami oleh PKR merupakan satu perkembangan tidak sihat dan tidak harmoni dari sudut politik,” katanya.

Manimaran berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen PKR tersebut menimbulkan menimbulkan persoalan sama ada ia bakal menjadi retakan awal kepada perpecahan yang lebih besar, bukan sahaja kepada PKR tetapi juga komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita tahu apa sebab dan punca yang membawa kepada perkembangan mutakhir pada hari ini (Isnin), yang diambil oleh sembilan orang ahli Parlimen PKR.

“Apakah ini retakan awal yang bakal membawa kesan buruk lebih besar ke atas PKR dan PH secara amnya dalam PRU akan datang?” soalnya.

Sehubungan itu ujar beliau, hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan yang berlaku mula menjejaskan keyakinan penyokong, malah penyokong PKR mula mencetuskan persepsi negatif kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

“PKR memerlukan strategi efektif untuk menangani isu semasa, jika tidak PRU16, yang bakal diadakan tidak lama lagi akan menjadi gelanggang tidak sihat untuk parti,” tegasnya.