SHAH ALAM - 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak 'memboikot' taklimat khas secara tertutup berkaitan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wakil rakyat itu tidak menghadiri taklimat yang dijadualkan berlangsung pada 4.30 petang Isnin itu sebagai tanda protes.
Beliau mendakwa, ia berikutan kerajaan negeri gagal mengendalikan isu tersebut secara telus dan bertanggungjawab.
Bagaimanapun, menurutnya, mereka akan mengambil bahagian secara aktif dalam sesi DUN pada Selasa ketika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi penjelasan secara rasmi.
"Mengapa dibuat secara tertutup? Di mana prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan? Mangsa di luar sana menanti jawapan. Siapa bertanggungjawab...(adakah) Petronas, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pemaju?
"Di mana jentera berat yang dikatakan tenggelam seperti disebut Menteri Besar sebelum ini? Kalau betul tanah lembut penyebab utama, maka tidak mustahil insiden ini akan berulang di tempat lain tetapi bagaimana dengan kemungkinan gangguan akibat kehadiran jentera berat di kawasan itu?
"Kami ada dokumen dan bukti. Banyak perkara tidak jelas dalam laporan. Perkara ini mesti dibincangkan secara terbuka di dalam dewan, bukan dalam bilik tertutup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas persidangan DUN Selangor di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan petisyen daripada 20 penama iaitu mangsa yang terkesan akibat insiden letupan itu supaya perkara berkenaan dibincangkan pada persidangan DUN Selangor.
Bagaimanapun, Speaker DUN Selangor, Lau Weng San tidak membenarkan rayuan berkenaan berikutan bertindih dengan permohonan yang difailkan Amirudin untuk membentangkan perkara itu pada sidang DUN kali ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor tersebut menegaskan keperluan untuk kerajaan negeri membentangkan laporan penuh insiden berkenaan tanpa sebarang penyuntingan serta pembentangan kertas putih yang menyeluruh.
Beliau berkata, pihaknya turut meluahkan rasa kesal apabila usul mereka berkaitan isu terbabit ditolak.
"Penduduk pasti kecewa. Kami bawa suara rakyat melalui petisyen dan usul, tetapi semuanya ditolak. Maka, kami akan terus bersuara dalam sidang esok (Selasa) bagi mendesak kerajaan negeri menunjukkan komitmen sebenar untuk menyelesaikan isu ini.
"Tidak ada peraturan yang menetapkan hanya pengundi sahaja boleh menandatangani petisyen. Letupan ini boleh berlaku di mana-mana. Petisyen ini suara rakyat, bukan sekadar suara wakil rakyat.
"Kami tidak menolak hak Menteri Besar untuk memberi penerangan tetapi sifat penerangan itu terlalu lemah jika dibandingkan dengan usul tergempar dan rayuan rakyat. Penerangan bukan pengganti kepada proses demokrasi yang sepatutnya berlaku secara terbuka,” ujarnya.