PRN Sabah: Rundingan kerjasama PH-BN berlangsung

KOTA KINABALU - Rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berjalan, namun tidak melibatkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin secara langsung.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, perbincangan bersama wakil BN memang sedang diadakan, namun individu yang hadir mewakili BN bukanlah Bung Moktar.

"Bukan dengan Datuk Seri Bung Moktar (perbincangan itu diadakan), tetapi orang lain. Setahu saya, salah seorang wakil dari Sabah yang terlibat ialah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

"Setiap parti ada struktur tersendiri. Bila sampai ke meja rundingan, biasanya ketua tidak perlu hadir. Setakat ini, saya sendiri belum pernah bertemu beliau (Bung Moktar)," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bilik Media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.

Bagaimanapun, Foong Hin berkata, perkara itu mungkin berkaitan dengan kekangan masa atau strategi dalaman parti yang tidak memerlukan kehadiran pemimpin tertinggi dalam peringkat awal rundingan.

"Biasanya kalau DAP akan diwakili oleh Datuk Phoong Jin Zhe (Pengerusi DAP Sabah). Kalau dia tiada masa, barulah saya yang datang," katanya.

Sementara itu, Foong Hin berkata, rundingan berkaitan agihan kerusi antara parti PH juga masih belum diputuskan dan dijangka hanya dimuktamadkan selepas DUN Sabah dibubarkan.

"Sebaik sahaja DUN dibubarkan, barulah rundingan kerusi akan diselesaikan," katanya.

Menurut Foong Hin, perbincangan mengenai agihan kerusi dijalankan dari semasa ke semasa di dua lokasi berbeza sama ada di Sabah atau di Semenanjung, bergantung kepada keperluan.

"Perbincangan ini kadang-kadang kita buat di Kota Kinabalu, kadang-kadang di Kuala Lumpur, bergantung kepada siapa yang kita mahu temui dan dengan siapa kita mahu berunding.

"Setakat ini, belum ada keputusan akhir tetapi rundingan sedang berjalan," katanya.

Ditanya mengenai kerusi yang diintai dalam rakan komponen PH, Foong Hin melihat setiap parti dalam gabungan mempunyai aspirasi tersendiri mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi.

"Setiap parti ada aspirasi masing-masing. PKR contohnya menyatakan mahu bertanding di 13 kerusi, manakala DAP pula, saya sendiri pernah sebut kita sasarkan 10 kerusi.

"Jadi buat masa ini ia sekadar perbincangan awal. Belum muktamad. Tapi sudah tentu jumlah itu boleh berubah dari masa ke semasa," katanya.