SEREMBAN - UMNO perlu menghentikan pendekatan politik berasaskan nostalgia sebaliknya bergerak secara lebih dinamik serta menerima hakikat bahawa tiada lagi mana-mana parti mampu memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya umum (PRU).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, landskap politik negara telah berubah menjadikan pembentukan kerajaan secara bersendirian semakin sukar.
"Jangan anggap kita seorang sahaja yang ada kuasa. Dalam situasi sekarang, kita perlu berkongsi kuasa dan menerima hakikat bahawa dunia politik hari ini sudah berubah.
"Ia tidak mudah kerana setiap parti mempunyai ideologi berbeza. Dahulu, perjuangan hanya satu iaitu memerdekakan dan membangunkan negara tetapi sekarang, orang sudah tidak bercakap tentang perkara itu lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Dewan KRS Sikamat, di sini pada Ahad.
**media[3191728]**
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pengundi masa kini khususnya golongan muda mempunyai pemikiran yang lebih kritikal serta jangkaan tinggi terhadap parti politik.
"Hari ini rakyat menilai parti mana yang boleh memenuhi keperluan dan kehendak mereka.
"Disebabkan itu kita perlu sentiasa berubah mengikut kesesuaian kawasan. Lagi maju kawasan itu, lagi tinggi dinamik pemikiran pengundinya," katanya.
Tambah beliau, UMNO sebelum ini pernah memenangi majoriti dua pertiga dalam 11 pilihan raya umum, manakala dua PRU terakhir hanya memperoleh majoriti mudah.
"Dua PRU terakhir kita kalah, tapi kita masih berkongsi kuasa kerana ada kerusi yang kita menangi. Dalam perkongsian kuasa ini, UMNO perlu belajar untuk menyesuaikan diri.
"Tak boleh bila kita berkongsi kuasa, kita bertindak seolah-olah masih berkuasa penuh. Setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ini sama ada Amanah, DAP, PKR dan UMNO ada perbezaan ideologi," katanya.
Beliau menegaskan, sikap bersatu hati dalam Kerajaan Perpaduan penting bagi menjamin kestabilan politik demi kemajuan ekonomi negara.
"Bila politik stabil, ekonomi berkembang. Anak muda yang keluar universiti pun senang dapat pekerjaan kerana banyak peluang diwujudkan.
"Tetapi kalau politik tidak stabil, buatlah apa pun, tiada pelabur yang berani datang," ujarnya.
Jelas beliau, ahli UMNO perlu terbuka dalam menerima perubahan dan melalui proses pembelajaran dalam era politik baharu.
"Sudah tentu ada segelintir ahli UMNO yang tidak setuju, tetapi ini adalah proses baharu. Kita kena belajar dan buat yang terbaik," katanya.