UMNO tidak akan tinggalkan MCA, MIC dalam PRU16 - Ahmad Zahid

GOPENG - UMNO tidak akan meninggalkan rakan tradisi dalam Barisan Nasional (BN) khususnya MCA dan MIC pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) walaupun terdapat desakan supaya parti itu bertanding secara solo.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO berhasrat untuk memperkukuh kekuatan sendiri, ia tetap akan bergerak atas nama BN dengan menggunakan lambang dacing.

“Memang kita dengar desakan untuk UMNO bertanding solo. Tak salah nak pergi solo, tetapi jangan lupa, dalam BN kita ada MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah). Kita tak pernah tinggalkan kawan lama walaupun kita ada kawan baharu dalam kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng yang turut dihadiri Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, strategi politik mesti digerakkan secara kolektif dengan melihat realiti semasa, bukannya terikut-ikut dengan retorik kononnya bertanding solo akan memberi kelebihan.

Hakikatnya beliau berkata, politik pasca PRU15 menunjukkan bahawa tiada parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, termasuk Perikatan Nasional (PN) yang hanya memenangi 73 kerusi Parlimen ketika itu.

"Kalau kita sombong, bongkak dan ujub, pergilah solo. Tetapi ingat, hari ini kita ada kawan-kawan dalam kerajaan, ada PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP, Amanah (Parti Amanah Negara), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) juga Warisan yang sama-sama membentuk kerajaan.

"Kita bina kerajaan Perpaduan kerana tiada siapa dapat majoriti mudah. BN dapat 30 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 82. Itu pun masih belum cukup,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa UMNO dan BN telah diuji dalam dua pilihan raya sebelum ini dan tidak wajar mengulangi kesilapan yang menyebabkan kerusi dimenangi sangat kecil termasuklah di Perak.

"PRU14 dan PRU15 kita dah diuji. Jangan sampai PRU16 pun kita diuji sekali lagi dengan kerusi yang sedikit.

"Saya yakin, kali ini kita akan menang lebih banyak kerusi. Kita ada rakan-rakan PH yang sedia membantu. Cuma kita kena bijak susun strategi, jangan ikut emosi," katanya.