MUAR – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kemampuan UMNO untuk mempertahankan 26 kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin UMNO seharusnya mengukur baju di badan sendiri sebelum berhasrat merampas negeri-negeri yang kini diterajui PN seperti Kedah, Perlis dan Terengganu pada pilihan raya akan datang.
“PN ini realistik, pragmatik, kita meneliti apa yang telah dan sedang berlaku sekarang ini, yang secara umumnya ramai orang Melayu, terutama ahli UMNO, sudah menolak.
“Persoalan pokok, bolehkah UMNO pertahankan 26 kerusi? Usah cakap mahu ambil semua kerusi lain. Saya ragu. Itu yang saya fikirkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Kampung Jayor di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedudukan kerajaan negeri yang diterajui PN di Perlis, Kedah dan Terengganu kini tidak stabil, sekali gus membuka peluang untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) merampasnya semula pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut mengenai hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan partinya akan bertanding di semua kerusi Bersatu dan Pas, Muhyiddin menegaskan beliau tidak menghalang niat tersebut.
“Tak apalah, bila bertanding dia (UMNO) kenalah letak calon. Dia tak kata nak bertanding tapi tak letak calon,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan PN kekal yakin dengan sokongan rakyat berdasarkan perkembangan semasa, berbanding kedudukan UMNO ketika ini yang didakwanya mengkhianati perjuangan asal.
Menurut beliau, UMNO kini turut menyokong kerjasama dengan DAP, sebuah parti yang mempunyai ideologi bertentangan dengan asas perjuangan UMNO sejak dahulu.
“Kita yakin dengan apa yang sedang berlaku, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terhadap ahli-ahlinya dengan meninggalkan perjuangan asal dan mendukung kerjasama dengan DAP yang sejak awal lagi bertentangan ideologi dengan UMNO.
“Juga lain-lain isu serta masalah negara yang didukung oleh UMNO dalam PH-BN semuanya tidak membantu perpaduan mereka,” katanya.