MUAR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kedudukannya dalam parti dan Perikatan Nasional (PN) bukan ditentukannya sendiri.
Beliau berkata, sebaliknya kedudukannya akan diputuskan oleh kepimpinan parti serta gabungan itu.
“Itu semua bukan saya yang tentukan. Mereka (kepimpinan) yang buat keputusan. Kalau mereka kata nak saya, ambillah.
"Setakat yang saya tahu dalam perjumpaan antara Bersatu dengan Pas beberapa bulan lalu, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri keluarkan kenyataan menyokong saya sebagai Pengerusi PN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Kampung Jayor pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya wujud usaha mengetepikan dirinya daripada memimpin Bersatu untuk digantikan dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Muhyiddin turut mendedahkan beliau pernah menawarkan kepada Pas untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN selepas terpilih semula sebagai Presiden Bersatu.
“Saya kata eloklah Pas ambil alih. Gilir-gilirlah. Kalau Pas nak Perdana Menteri pun kita boleh bincang sama-sama. Tapi mereka kata tak boleh, Tan Sri kena teruskan, ini realitinya,” katanya.
Beliau menyifatkan khabar angin mengenai perubahan kepimpinan Bersatu hanyalah spekulasi yang dimainkan pihak tertentu.
“Biasalah orang politik. Parti yang elok dia kata tak elok. Parti yang kukuh dia kata sudah goyang. Itu muslihat dia nak bagi orang pandang buruk.
"Tapi kami bergerak atas pertimbangan bijaksana dan terus laksanakan tanggungjawab seperti biasa,” katanya.