KUALA KANGSAR - Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka diadakan lebih awal susulan tekanan berterusan yang dihadapi kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkembangan terkini dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian UMNO juga memberi petunjuk bahawa gabungan kerajaan kini tidak lagi selesa bertahan.
"Saya nampak Perdana Menteri dan kerajaan hari ini seolah-olah sudah tidak sabar lagi.
"Naratif UMNO dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian juga menuju ke arah pilihan raya. Ini memberi isyarat jelas bahawa PRU16 mungkin berlaku dalam masa terdekat," katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Seri Merchu di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Bersatu Bahagian Kuala Kangsar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Dr Hashim Bujang.
Menurut Tun Faisal, tekanan dihadapi kerajaan bukan sekadar bersifat politik, tetapi turut membabitkan kemarahan rakyat terhadap pelbagai isu termasuk krisis kos sara hidup, ekonomi dan dasar-dasar yang menekan.
"Krisis ekonomi, krisis kewangan, krisis kehidupan rakyat...semuanya sedang berlaku. Tetapi yang lebih kritikal, sekarang ini timbul pula krisis keyakinan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan.
"Kalau Perdana Menteri terus menangguhkan pilihan raya, kemarahan rakyat akan semakin besar. Jadi saya percaya dia akan memilih untuk adakan pilihan raya lebih awal (daripada sepatutnya)," katanya.
Sementara itu, mengulas persediaan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), Tun Faisal berkata, parti kini memasuki fasa konsolidasi selepas selesai proses pemilihan di semua peringkat.
Katanya, baik Naib Presiden mahupun Setiausaha Agung, semua turun ke negeri-negeri sebagai sebahagian usaha untuk menyelaraskan dan memperkukuh gerak kerja jentera di seluruh negara.
"Jawatankuasa penerangan negeri telah dibentuk dan kita sedang latih jentera untuk bergerak lebih laju.
"Kalau sebelum ini kita bekerja pada kelajuan 100 kilometer sejam, sekarang kita perlu gandakan usaha itu kerana masa makin suntuk," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PN berada pada landasan tepat untuk kembali menawan Perak dalam PRU akan datang.
“Kita hanya kurang empat kerusi sahaja untuk bentuk kerajaan negeri selepas PRU15 lalu. Kalau bukan kerana keputusan UMNO bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan, kerajaan itu tidak akan terbentuk.
“Kita yakin peluang cerah termasuk di Kuala Kangsar dan Bukit Gantang kerana gelombang pengundi Melayu dan Islam masih kukuh bersama kita," katanya.