'Himpunan Turun Anwar' hanya sia-sia - Pemuda Amanah

KEPALA BATAS – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang menyifatkan penganjuran Himpunan Turun Anwar oleh pihak pembangkang sebagai satu tindakan sia-sia yang tidak membawa sebarang nilai positif kepada pembangunan negara.

Pengarah Komunikasinya, Abrar Sadiq berkata, tindakan sedemikian hanya bertujuan mencetuskan perpecahan dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.

“Tindakan mengajak rakyat ke jalanan ini bukan sahaja membuang masa, malah tidak memberi sebarang manfaat kepada negara.

“Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas, hanya bijak meniup sentimen kemarahan tanpa membawa penyelesaian yang realistik,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Abrar berkata, Pemuda Amanah Pulau Pinang tetap berdiri teguh menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan berdasarkan beberapa prinsip utama.

“Kami berdiri mempertahankan mandat rakyat yang sah melalui proses demokrasi. Kami juga berdiri menyokong kepimpinan PMX yang komited membina semula negara serta memperjuangkan agenda reformasi pentadbiran Kerajaan Madani.

“Pemuda Amanah juga akan terus melawan segala bentuk dakyah, fitnah dan berita palsu yang meracuni pemikiran rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, rakyat kini lebih mendambakan kestabilan, kemajuan dan penyelesaian konkrit berbanding demonstrasi jalanan yang dianggap tidak memberi faedah kepada masa depan negara.

“Kami tidak akan berdiam diri. Kami juga akan turun, menunjukkan solidariti dan kekuatan kami demi mempertahankan kebenaran. Ruang kebenaran tidak boleh dibiarkan kosong tanpa pembelaan,” katanya.