SEGAMAT - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepimpinan dan ahli agar menjauhi budaya menjatuhkan sesama sendiri yang tidak menguntungkan parti.
Mengumpamakan tindakan itu seperti ‘ketam dalam bakul’, beliau berkata semua ahli sebaliknya perlu bekerjasama memperkukuh dalaman demi kelangsungan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
"Jangan jadi macam ketam dalam bakul...semua ketam nak keluar, tapi pijak yang lain supaya dia boleh naik.
"Akhirnya tidak ada seekor pun keluar, semua mati dalam bakul. Buat apa kita mati dalam bakul sebab pijak sesama sendiri?,” katanya pada penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Dewan Serbaguna Taman Yayasan, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa budaya menuding jari dan menganggap diri sahaja yang betul hanya akan meretakkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
"Sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan ahli perlu dizahirkan secara beradab dan beretika, khususnya ketika membincangkan isu-isu dalaman parti.
"Kalau hari ini kita pemimpin kecil, insya-Allah satu hari nanti kita boleh jadi pemimpin besar, tetapi kalau kita pernah biadab dengan orang lain pada hari ini, bila kita naik nanti lebih ramai pula yang akan biadab dengan kita,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyeru seluruh jentera UMNO agar kekal fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan akar umbi dan tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca kepada perpecahan.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip. - Bernama