MELAKA - UMNO Bahagian Tangga Batu hari ini meluluskan usul agar parti itu diberikan semula mandat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, mengambil kira sejarah dan komposisi pengundi, UMNO dilihat berpeluang cerah untuk merampas kembali kerusi berkenaan yang kini disandang wakil rakyat Perikatan Nasional.
"Kami merayu, bawalah suara kami agar kerusi Parlimen Tangga Batu kembali kepada UMNO.
"Permintaan ini relevan berdasarkan demografi pengundi Parlimen Tangga Batu yang terdiri daripada 85,000 pengundi Melayu daripada keseluruhan 120,000 pemilih berdaftar.
"Lebih unik, kami ada hampir 10,000 pengundi tentera kerana kawasan ini menempatkan beberapa kem utama iaitu Kem Terendak, Kem Para dan Kem Sungai Udang. Jadi, kami berharap pucuk kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat melihat perkara itu dan meluluskan permintaan kami ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu 2025 oleh Naib Presiden Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Kompleks Penjara Sungai Udang, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, BN menerusi calonnya Datuk Lim Ban Hong daripada MCA tewas dalam saingan lima penjuru. - Bernama