SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menyindir kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan kedudukan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah dan Terengganu sebagai tidak stabil serta goyah baru-baru ini.
Idris berkata, penilaian rakyat kini berbeza berbanding dahulu apabila mereka mengundi berdasarkan konsistensi dan rekod parti bukannya berdasarkan pimpinan yang berubah haluan demi jawatan.
“Kalau rakyat sudah terkena dua kali, kali ketiga jangan haraplah.
“Jadi Tok Mat, teruskanlah angan-angan itu. Cuma jangan nanti angan-angan jadi igauan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ahmad Maslan menyifatkan kedudukan negeri yang diterajui PN ketika ini dilihat tidak stabil, sekali gus membuka ruang kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula pentadbiran negeri pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, separuh daripada pengundi di tiga negeri berkenaan masih menyokong UMNO manakala sebahagian lagi dalam kelompok atas pagar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Mengulas lanjut, Idris berkata, tidak ada gunanya bercakap mengenai kedudukan negeri yang diterajui parti lawan sedangkan parti sendiri masih bergelut mencari ‘oksigen’ politik.
“Di Perak, PN hanya perlukan empat kerusi lagi, di Pahang lima kerusi dan tujuh kerusi di Selangor.
“Bukan bermula dengan telur ayam, Tok Mat. Itu status geng Tok Mat sendiri.
“Angan-angan itu percuma, tidak dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan tidak perlu mohon permit. Tetapi kalau hendak berangan pun, biarlah realistik sikit,” ujarnya.