Tiada kem dalam Bersatu Selangor – Wan Saiful

SERDANG - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menafikan wujud sebarang kem dalam kalangan kepimpinan parti itu di Selangor.

Beliau berkata, isu itu mungkin timbul susulan penganjuran Persidangan Berkelompok Bersatu yang disertai 14 daripada 22 bahagian parti tersebut di negeri ini.

Menurut beliau, semua bahagian sebenarnya telah dijemput menyertai persidangan berkenaan, namun beberapa kekangan teknikal menjadi punca utama sebahagian bahagian di Selangor tidak dapat hadir.

“Dalam ucapan tadi pun telah saya nyatakan bahawa semua bahagian telah dijemput.

“Namun, persidangan ini dihadiri 14 daripada 22 bahagian Bersatu di Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025 di Seri Kembangan, pada Sabtu.

Jelas beliau, notis mesyuarat sepatutnya dikeluarkan sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal mengikut keperluan teknikal.

“Disebabkan tempahan tempat dibuat agak lewat, hanya bahagian yang belum mengeluarkan notis dan mempunyai kelapangan sahaja yang dapat hadir,” katanya.

Tambahnya, terdapat dua bahagian yang tidak dapat mengubah jadual asal, manakala beberapa bahagian lain sedang mengadakan persidangan masing-masing pada tarikh sama.

“Sebab itu mereka tidak dapat hadir. Kalau tidak, persidangan ini boleh dihadiri oleh wakil seluruh Selangor.

“Malah Pengerusi Bersatu Negeri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) juga telah dimaklumkan mengenai jemputan yang dihantar. Namun, beliau sudah pun mengeluarkan notis dan menetapkan tarikh persidangan pada hari sama,” ujarnya.

Mesyuarat perasmian berkelompok itu hanya dihadiri oleh 14 bahagian Bersatu di Selangor iaitu Bangi, Sepang, Sabak Bernam, Ampang, Pandan, Selayang, Kota Raja, Hulu Langat, Puchong, Damansara, Klang, Subang, Sungai Buloh dan Hulu Selangor.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa isu ketidakhadiran beberapa bahagian dalam Persidangan Berkelompok Bersatu Selangor tidak wajar dipolitikkan sebagai wujudnya kem tertentu dalam parti.

Beliau yang merasmikan mesyuarat berkenaan berkata, situasi sama turut berlaku di negeri lain termasuk Pahang, namun ia berpunca daripada kekangan teknikal dan jadual persidangan yang telah ditetapkan lebih awal.

“Saya beri contoh di Pahang, esok ada tiga bahagian Bersatu iaitu Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar yang akan mengadakan persidangan berkelompok bersama (Timbalan Presiden Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kenapa tidak ajak yang lain? Sebab Pahang besar dan ada bahagian yang telah pun mengeluarkan notis lebih awal untuk bermesyuarat secara berasingan,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak semua bahagian boleh bersama dalam satu majlis, masih ada pemimpin dari bahagian lain yang tetap hadir sebagai tanda sokongan.

“Bahagian-bahagian lain yang tidak bermesyuarat esok pun akan datang juga, jadi ini bukan isu perpecahan kem atau tidak dijemput," tambah beliau.