Hamzah tidak pasti status ibu pejabat PN ditutup

LARUT – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui status sebenar penutupan ibu pejabat parti gabungan itu.

Menurut Hamzah, urusan pengurusan dan pentadbiran pejabat adalah di bawah tanggungjawab Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya kerana itu adalah tanggungjawab Setiausaha Agung. Kita akan tunggu sehingga mesyuarat agung dan akan kita tanya apa yang sebenarnya berlaku.

“Mungkin mereka sedang mencari tempat baharu... kita tidak tahu dan saya kurang pasti.

“Dahulu saya merupakan Setiausaha Agung, jadi saya tahu bahawa perkara berkaitan pejabat ini sememangnya di bawah tanggungjawab jawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut 2025 di Dewan Sungai Bayor, Selama, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa ibu pejabat PN di kawasan elit Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ditutup selepas gagal membayar sewa sejak Mac lalu.

Pejabat berkenaan sebelum ini menjadi lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu sejak ia ditubuhkan pada tahun 2020.

Sementara itu, Hamzah turut menafikan wujudnya perpecahan dalam kalangan pimpinan PN yang dikaitkan dengan kemungkinan rombakan kepimpinan gabungan tersebut.

“Jangan dengar perkara-perkara yang boleh merosakkan persahabatan yang ada hari ini.

“Baru-baru ini, pimpinan PN ke Singapura dan saya sendiri telah berbincang dengan presiden. Tiada masalah.

“Masalah sebenar ialah apabila kami aman dan bersatu, orang mula takut dan gerun dengan kesepakatan kita,” ujarnya.