BN tekad rampas kerusi Bersatu, Pas pada PRU16

BATU PAHAT - Barisan Nasional (BN) bertekad merampas semula kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai kajian dan tinjauan telah dilaksanakan parti itu bagi mengenal pasti kerusi berpotensi untuk dimenangi semula.

"Kerusi yang dimenangi Bersatu dan kerusi yang dimenangi Pas di kawasan tertentu, kita sudah lakukan tinjauan dan kajian.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh supaya kerusi itu kembali dimenangi calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan dakwaan pembangkang yang mengaitkan UMNO sebagai sekutu langsung kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah tidak berasas.

Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan bahawa kerjasama antara parti itu dibentuk atas dasar kepentingan negara dan demi menjamin kestabilan kerajaan perpaduan.

"Isu UMNO-DAP ni hanyalah permainan naratif pihak lawan. Dalam BN, kita ada MCA, MIC. Dalam Pakatan Harapan (PH) kita ada rakan-rakan yang bantu kita capai kemenangan.

"Kemenangan kita hari ini bukan sebab kita hebat tapi kerana kita dibantu oleh rakan PH dan parti lain. Saya tahu, ramai yang tak setuju, tapi itulah hakikatnya.

"Akhir kata, ini bukan tentang saya... ini tentang UMNO. Kita bangkit bukan sebab seorang tetapi kerana seluruh ahli dan kepimpinan yang setia," katanya.