Pembangkang persoal khidmat Tengku Maimun tidak disambung

MELAKA – Tindakan kerajaan tidak menyambung perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, seolah-olah memberi isyarat bahawa soal integriti kehakiman tidak lagi menjadi keutamaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan kerajaan itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman negara seperti yang tular di media sosial.

Malah menurutnya, penyokong kerajaan sendiri juga mahu Tengku Maimun diberikan peluang penangguhan sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk berkhidmat dalam jawatan tersebut.

“Sepatutnya mereka sendiri faham dan sedar bila ada golongan dalam kalangan penyokong mereka sendiri mahukan supaya Tun Maimun diberikan lanjutan (tempoh perkhidmatan) tapi hari ini sudah tidak berlaku.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang ada hari ini tidak mengambil kira tentang kepentingan masa depan dari segi perundangan dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Bahagian-bahagian Bersatu Melaka di Ayer Keroh di sini, pada malam Jumaat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata, kerajaan yang ada sekarang ini seharusnya sedar dan memahami mengapa ada dalam kalangan penyokong mereka mahukan perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan.

“Saya bukan mahu mendahului tapi nampak gayanya inilah spekulasi yang ada di luar sana mengatakan seolah-olah perkara ini sengaja dilakukan. Itu yang menjadi persoalan kita,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan Tengku Maimun menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara pada Rabu selepas enam tahun berkhidmat, menjadi wanita pertama memegang jawatan itu dalam sejarah Malaysia.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis lalu memaklumkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].