SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tamat penggal Parlimen ini, sekali gus tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada 'budaya' politik yang ditunjukkan parti itu semasa pemilihan pada Mei lalu.
Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci budaya yang dimaksudkan, bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau tidak yakin terhadap keupayaan parti untuk menyingkirkan budaya tersebut.
"Budaya yang ditunjukkan dalam PKR pada pemilihan lepas, bukanlah sesuatu yang saya mahu jadi sebahagian daripadanya.
"Jika ada pemilihan baharu, saya tidak rasa kita ada kemampuan untuk membersihkan parti daripada budaya itu," katanya dalam audio siar 'Yang Berhenti Menteri' pada Jumaat.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU16, Rafizi mendedahkan masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu, malah tidak menolak kemungkinan sekiranya tidak bertanding langsung.
“Kalau (jawatan) menteri pun saya sanggup lepaskan, apatah lagi sekadar tidak bertanding dalam pilihan raya.
"Sebenarnya saya masih belum buat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada PRU akan datang,” ujarnya.
Menurut Rafizi, beliau akan melangkah ke fasa baharu tanpa menoleh ke belakang walaupun pernah memainkan peranan penting dalam PKR.
Malah beliau memberi bayangan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam parti pada masa akan datang.