Ahli Parlimen Parit Buntar lepas jawatan YDP Pas Bagan Datuk

IPOH – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Bagan Datuk yang disandangnya sejak 2005.

Perkara itu diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bagan Datuk yang berlangsung pada 29 Jun lalu.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau dilantik sebagai YDP Pas Kawasan Parit Buntar yang baharu.

"Selesai Mesyuarat Agung Pas Kawasan Bagan Datuk, berakhirlah tugas rasmi saya sebagai YDP Pas Kawasan Bagan Datuk sejak 2005 hingga 2025. Genap 20 tahun berkhidmat di Bagan Datuk.

"Sepanjang menjadi YDP Pas Kawasan Bagan Datuk, saya hanya menetap di Bagan Datuk selama setahun. Selepas itu, saya berulang-alik dari luar ke Bagan Datuk untuk memimpin Pas Bagan Datuk hinggalah saya diamanahkan sebagai YDP Pas Kawasan Parit Buntar," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Misbahul Munir berkata, sepanjang tempoh menjawat jawatan YDP Pas Kawasan Bagan Datuk itu, pelbagai fasa berpindah tempat tinggal telah dilaluinya, termasuk ke Pahang, Ipoh dan kini menetap di Parit Buntar, namun beliau tetap komited berulang-alik ke Bagan Datuk bagi menjalankan tanggungjawab parti.

Katanya, meskipun hanya menetap setahun sahaja di Bagan Datuk selepas dilantik sebagai YDP, beliau tetap aktif menghadiri mesyuarat, program dan pilihan raya termasuk ketika menjadi calon sebanyak lima kali.

“Selepas Pilihan Raya Umum 2022, saya berpindah ke Parit Buntar untuk memudahkan pelaksanaan tugas sebagai ahli Parlimen.

"Walau bagaimanapun, Bagan Datuk tetap dekat di hati saya kerana keluarga dan sahabat masih berada di sini,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Pas Bagan Datuk dan rakyat kawasan itu yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh kepimpinannya.

Dalam pada itu, Mohd Misbahul Munir turut menyentuh kenangan bersama Allahyarham isterinya, Jamidah Sandang yang pernah memimpin Dewan Muslimat Pas Bagan Datuk dan menjadi pengiring setia dalam pelbagai program parti.

Sementara itu, Pas Kawasan Bagan Datuk kini dipimpin oleh YDP baharu, Mohd Mohkheri Jalil yang sebelum ini merupakan Timbalan YDP Pas kawasan berkenaan.