Rakyat tolak politik jalanan 'Himpunan Turun Anwar' – Mahfuz

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan politik jalanan yang digerakkan pembangkang menerusi 'Himpunan Turun Anwar' yang didakwa bermotifkan hasutan dan sentimen sempit.

Menurut beliau, tindakan pembangkang khususnya Pas yang menjadikan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), penyasaran subsidi dan tarif elektrik sebagai modal politik jalanan hanya bertujuan menggugat kestabilan negara ketika ekonomi sedang dipulihkan.

“Ini bukan suara rakyat sebenar, tetapi penggemblengan ahli parti yang taasub kepada pemimpin. Mereka cuba membakar emosi dan sentimen penyokong tegar untuk menghancurkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mahfuz berkata, langkah-langkah yang diambil Kerajaan Perpaduan seperti penyasaran subsidi dan semakan struktur cukai bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya untuk menyelamatkan negara daripada terus dibebani ketirisan dan pemborosan.

Menurutnya, politik bukan sekadar jeritan di jalan raya, sebaliknya memerlukan keberanian untuk membuat keputusan sukar demi masa depan rakyat dan negara.

“Saya yakin rakyat menolak politik jalanan ini. Rakyat tidak mahu negara dijadikan bahan eksperimen politik sempit dan emosi tanpa fakta,” ujarnya.

Beliau turut menyelar pembangkang yang didakwa tidak mempunyai pelan ekonomi realistik untuk rakyat, malah negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis masih berdepan krisis bekalan air serta peluang pekerjaan yang terhad.