UMNO Sembrong rayu terima kembali Hishammuddin

KLUANG – UMNO Bahagian Sembrong sekali lagi merayu kepada pucuk pimpinan parti agar mempertimbangkan semula usul berkaitan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dengan mengambil kira jasa besar bekas Naib Presiden UMNO itu dalam menentukan hala tuju negara sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, meskipun ada yang mempersoalkan mengapa bekas Naib Presiden UMNO itu tidak membuat surat rayuan sendiri, namun tiada salahnya jika pucuk pimpinan parti memanggil dan berbincang secara baik berhubung perkara ini.

"Ada orang kata, apalah susah sangat Hishammuddin hendak merayu dengan buat surat rayuan kepada parti. Tetapi pada saya, apalah juga salahnya pimpinan parti duduk berbincang tentang apa kesilapannya.

“Hishammuddin bukanlah kawan rapat sangat dengan saya. Beliau kawan rapat pimpinan parti yang sama menjadi pemimpin atasan, malah pernah menjadi sebahagian daripada kabinet yang jasanya sangat besar kepada negara.

“Sebagai ketua di peringkat akar umbi, saya hormat prinsip yang dipegang oleh Hishammuddin. Latar belakang politiknya selama berpuluh tahun cukup baik. Sudah tentu pemimpin seperti ini ada prinsip dan integriti,” katanya dalam video di akaun TikTok miliknya pada malam Selasa.

Justeru, ujarnya, UMNO Sembrong hanya berharap usul yang dibawa sebelum ini dapat dipertimbangkan sebaiknya demi menjaga keharmonian hubungan antara pimpinan parti, seterusnya diyakini rakyat.

“Tiada harapan lain daripada UMNO Sembrong melainkan penyelesaian terbaik berhubung isu ini.

“Saya sentiasa menunggu keputusan usul yang dibawa mengikut proses ditetapkan, dan ahli-ahli UMNO Sembrong berharap ia akan dipandang sewajarnya,” katanya lagi.

Pada Selasa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.

Ini kerana Ahli Parlimen Sembrong itu berkeyakinan beliau tidak akan diadili sebaiknya, selain tidak mahu menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa pihaknya boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.

Ia susulan tindakan UMNO Bahagian Sembrong pada Sabtu lalu yang sekali lagi membawa usul agar penggantungan terhadap Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.