SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan mengemukakan merayu terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.
Ini kerana Ahli Parlimen Sembrong itu berkeyakinan beliau tidak akan diadili sebaiknya selain tidak mahu menggadaikan prinsip dipegang selama ini.
Justeru, beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Kanan (Pertahanan) akan terus mempertahankan prinsip perjuangannya selepas mendakwa dirinya digantung keahlian tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
"Semasa saya digantung, tidak ikut prosedur. Apabila ada permintaan untuk saya diterima semula, kena ikut prosedur pula.
"Usul agar penggantungan saya ditarik balik bukan datang daripada saya. Usul penarikan datang daripada UMNO Bahagian Sembrong sendiri.
"Adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi jawapan dan memberi penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diputuskan boleh mempertimbangkan sebarang rayuan dikemukakan oleh mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Ia selepas UMNO Bahagian Sembrong pada Sabtu lalu, sekali lagi membawa usul agar penggantungan terhadap Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, usul itu merupakan kali kedua dibawa oleh bahagian tersebut, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu Hishammuddin kembali aktif dalam parti.
Menurut Hishammuddin, beliau juga yakin keputusan besar seumpama itu sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukannya.
"Dua tahun lalu, saya digantung dan hanya mengetahuinya melalui laporan media pada malam 27 Januari 2023.
"Tiga hari selepas itu, baru saya dapat surat rasmi menyatakan saya digantung atas alasan melanggar fasa-fasa dalam pelembagaan UMNO.
"Tidak ada sebarang penjelasan atau perincian lanjut dan hingga ke hari ini, saya masih tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang saya didakwa telah dilakukan," ujar beliau.
Hishammuddin turut memaklumkan tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau membela diri, malah tidak dibicara di hadapan jawatankuasa disiplin.
Oleh demikian, beliau berpandangan adalah penting untuk ditegaskan bahawa isu yang timbul bukan soal keahlian atau kedudukan dalam parti.
"Ini soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang dalam UMNO. Ya, merayu dengan menulis surat memang ramai ingat senang.
"Tetapi bagi perjuangan saya selama ini, ia bukan sekadar untuk menjadi ahli kembali.
"Ini tentang memegang soal nilai dan prinsip yang bukan (diamalkan) saya sahaja, tetapi juga pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu daripada kita. Ini yang sukar untuk saya kompromi," tegasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan kepada parti bukan diukur menerusi rayuan, tetapi prinsip yang dipertahankan.
"Semalam MKT telah pun membuat keputusan mereka. Keputusan itu mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita.
"Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip.
"Inilah perjuangan nilai dan makna. Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip di dalam parti menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti," kata Hishammuddin.
Dalam pada itu, kongsi beliau, hubungan dengan rakyat dan akar umbi kekal harmoni biarpun tidak lagi memegang sebarang jawatan atau status dalam parti.
"Saya tetap diundang ke majlis-majlis dan diterima seperti sebahagian daripada mereka. Hubungan saya dengan rakyat tidak pernah bergantung kepada jawatan, mahupun status dan keahlian," menurutnya.