Jangan terima indvidu lompat parti - Mohamed Khaled

BATU PAHAT – UMNO mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak menerima mana-mana individu yang melompat parti demi menjaga kerjasama dan keharmonian gabungan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berbaki kira-kira 21 bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 30 bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) untuk memperkukuh kembali kedudukan parti.

"Faktor penting kalau kita nak pastikan kita berjaya berhadapan dengan cabaran mengembalikan parti kita adalah kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.

“Sebelum kita berhadapan dengan rakyat, kita perlu pastikan wujud kesetiaan dalam parti kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Ahad.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar dan Timbalan Ketua UMNO bahagian, Yusla Ismail.

Menteri Pertahanan itu turut menyentuh soal ketidaksetiaan segelintir pemimpin dalam parti yang memilih untuk melompat demi kepentingan peribadi.

“Sungguh malang kerana parti kita masih lagi ada pemimpin yang melompat dan sebagainya. Saya percaya mereka bertukar haluan melompat ke sana sini bukan kerana perjuangan tapi lebih kerana jawatan.

"Kita tahu melalui kesetiaan ia boleh bantu parti dan ia boleh membantu kita untuk melahirkan ketumbukan sebagai sebuah perjuangan yang boleh melalui segala cabaran yang kita,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut merujuk kepada konflik antara Iran dan Israel sebagai perbandingan mengenai erti kesetiaan rakyat kepada negara.

“Kita tengok perang Israel dan Iran. Walaupun dalam negara Iran itu ada lebih kurang 20 peratus Yahudi. Walaupun orang Yahudi tapi rakyat Iran dan mereka setia kepada Iran. Dia menyatakan kenyataan menyokong kerajaan dan kepimpinan Iran untuk melawan Israel.

“Kita tiada perang, tiba-tiba ada yang lompat. Apa punya cerita? Apa yang lebih penting, kita harap mana-mana parti yang menjadi rakan kita jangan terima mana-mana pihak yang lompat parti. Ini mesej yang hendak saya sampaikan," ujarnya.