‘Kalau tak mampu membantu, usah jadi racun’ - Mohd Ashraf

SHAH ALAM – Tindakan pihak tertentu yang cuba mencipta persepsi bahawa wujud krisis dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai perbuatan parasit demi mendapatkan kuasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, semua ahli perlu terus mempertahankan kepimpinan tertinggi dan membantu memperkuatkan parti, bukannya melaga-lagakan saf kepimpinan.

“Kalau tidak mampu jadi madu yang membantu, usahlah pula menjadi racun. Bersatu tidak akan kuat jika dalamannya sendiri busuk.

“Bersatu akan jatuh jika dikhianati oleh anak dalam rumah sendiri. Insaflah daripada terus menjadi duri dalam daging atau parasit,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada Sabtu, media melaporkan dakwaan mengenai cadangan penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN) bagi memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Mohd Ashraf Mustaqim, realitinya parti masih berada dalam keadaan tersusun dan terarah.

Katanya, pihak yang mencetuskan gelombang kononnya mahukan perubahan dalaman hanyalah watak yang bernafsu mahu naik dengan jalan pintas.

“Mereka menanam ‘pecah dan perintah’ agar kononnya tampak relevan. Ini bukan pejuang.

“Kita bukan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kita bukan seperti UMNO yang kini hanyut dalam kebersamaan palsu.

“Kita adalah Bersatu, parti yang dibina atas nama perjuangan, bukan pengkhianatan,” ujarnya.