UMNO Sabah tidak tunggu ‘lampu hijau’ untuk bertembung GRS – Bung Moktar

KOTA KINABALU - UMNO Sabah tidak perlu menunggu 'lampu hijau' untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah untuk bertembung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya berdasarkan kenyataan pihak lain.

Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berhubung kesediaan gabungan itu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN), dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

"Secara prinsipnya, kenyataan tersebut adalah manifestasi daripada dinamika biasa dalam sistem demokrasi berbilang parti pertembungan antara aktor politik yang beroperasi dalam ruang yang sama, namun berbeza asas legitimasi dan struktur keabsahan.

"Maka, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, bahkan boleh dianggap sebagai perkembangan positif jika ditanggapi dalam kerangka persaingan idea dan dasar yang sihat.

"Namun, perlu saya tegaskan bahawa UMNO-BN Sabah tidak menyesuaikan kedudukannya semata-mata berdasarkan kenyataan pihak lain. Kita tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pengerusi BN Sabah itu berkata lagi, apa yang lebih penting bahawa kenyataan itu perlu dinilai dalam kerangka yang lebih luas iaitu soal keabsahan politik, autonomi strategik, dan kejujuran dalam kerjasama antara parti.

"BN bukan menolak kerjasama. Tetapi BN tidak mahu bekerjasama hanya untuk menghiasi angka atau mengabsahkan kekuasaan yang rapuh.

"Kami mahu berkawan dan bekerjasama dengan mereka yang jujur bukan sekadar dalam perjanjian di atas kertas, tetapi jujur dalam pelaksanaan dasar, dalam menghormati peranan rakan, dan dalam memelihara integriti sistem politik.

"Kerjasama politik tanpa kejujuran ibarat membina rumah atas lumpur ia mungkin berdiri sebentar, tetapi pasti runtuh dalam ujian.

"BN tidak akan lagi membina di atas lumpur. Kami telah belajar, dan rakyat juga telah menyaksikan persefahaman yang tidak berpaksikan niat yang tulus hanya melahirkan kerajaan yang lemah, tidak konsisten, dan tidak diyakini," katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu lagi, sekiranya GRS benar-benar bersedia untuk bersaing secara demokratik, pihaknya menyambutnya dengan hati yang terbuka.

"Pertembungan bukan sesuatu yang menakutkan dalam demokrasi. Malah, ia adalah medan terbaik untuk menilai siapa sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan sokongan pinjaman atau formula pintas.

"Kepada rakyat Sabah, khususnya generasi muda dan kelas menengah yang semakin celik politik inilah waktunya untuk menilai semula landskap pilihan yang ditawarkan," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa BN Sabah hadir bukan sekadar membawa slogan, tetapi dengan rekod pencapaian yang pernah dibuktikan.

"Kita pernah memimpin negeri ini ke arah pembangunan. Kita juga pernah diuji. Kini, kita kembali dengan tekad untuk memperbaiki, bukan sekadar mengulangi," katanya.

Sinar Harian sebelum itu, melaporkan Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan persetujuan terhadap hasrat Bung Moktar agar GRS dan BN bertembung dalam PRN Sabah akan datang.