HANG TUAH JAYA - Parti Bersama Malaysia (Bersama) mendakwa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Melaka terhimpit apabila peningkatan perbelanjaan tahunan sebanyak tiga kali lebih tinggi berbanding pertumbuhan kutipan hasil.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keadaan itu menyebabkan ruang fiskal kerajaan Melaka semakin mengecil, malah berdepan defisit sebanyak RM59 juta pada tahun 2023.
"Antara tahun 2021 hingga 2024, perbelanjaan kerajaan negeri meningkat lebih laju daripada peningkatan hasil kutipan cukai dengan purata kadar 6.72 peratus setiap tahun berbanding 2.28 peratus.
"Bersama akan bawa perkara ini kepada rakyat kerana perkara ini perlu dinilai. Walaupun ada peningkatan kedudukan kewangan kekal defisit dan jika berterusan kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bertema 'Dulu Kancil Pilih Melaka, Kini Melaka Pilih Kancil' di Ruang Bersama di sini pada Isnin.
**media[3697487]**
Rafizi berkata, kebergantungan Melaka kepada sumber hasil terhad khususnya berkaitan premium dan cukai tanah turut menimbulkan persoalan terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Beliau mendakwa, keadaan itu mendorong kecenderungan menjadikan projek tambakan laut antara pendekatan untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri.
"Malah terdapat laporan banyak pelan pembangunan hartanah yang menjadi projek terbengkalai.
"Orang melaka kena hadap pembangunan hartanah yang gah diumumkan akhirnya terbengkalai dan bawa keburukan kepada rakyat," katanya lagi.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut membangkitkan ancaman kenaikan paras laut yang didakwa belum diberikan perhatian sewajarnya menerusi perancangan jangka panjang kerajaan negeri.
Menurut beliau, berdasarkan unjuran terdapat kawasan yang berisiko ditenggelami air iaitu Kuala Linggi, Kelebang dan bandar Melaka menjelang 2050.
"Keluasan zon pesisir pantai berisiko ditenggelami air pasang apabila 25 kilometer persegi (KM²) pada 2022 kepada 32 kilometer KM² menjelang 2050.
**media[3697486]**
"Ancaman itu bukan sahaja memberi kesan kepada 462,259 penduduk, malah menjejaskan aktiviti perniagaan serta nilai hartanah sekiranya tiada pelan mitigasi bersepadu dilaksanakan," ujar beliau.
Rafizi berkata, Bersama mengambil masa meneliti kedudukan kewangan serta pengurusan kerajaan negeri sebelum mengenal pasti beberapa perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Dalam manifesto itu, beliau berkata, beberapa tawaran telah digariskan dengan tumpuan kepada kemampanan kewangan kerajaan negeri, kepelbagaian ekonomi dan ancaman kenaikan aras laut.
Katanya, antara agenda dalam manifesto tersebut merangkumi sasaran nisbah peningkatan hasil kerajaan negeri sebanyak lima peratus berbanding pertambahan perbelanjaan tiga peratus, bagi memastikan kedudukan kewangan negeri lebih mampan.
"Pertumbuhan ekonomi tidak lagi bergantung kepada sektor hartanah sebagai punca hasil terbesar kerajaan negeri dan untuk itu kita mencadangkan sekiranya Bersama menubuhkan kerajaan menumpu empat bidang ekonomi.
"Bidang tersebut adalah perkilangan termaju antara industri aeroangkasa, pemakanan, semikonduktor selain pelancongan berasaskan kesihatan serta ekonomi biru yang menskalakan industri marin termasuk penjanaan tenaga biru," katanya.
Selain itu, Tambah Rafizi, pihaknya menggariskan Pelan Infrastruktur Melaka 2050 (PIM2050) ke arah mempersiapkan Melaka menghadapi ancaman bencana.
Mengenai Reformasi Sistem Demokrasi pula, Rafizi berkata, parti itu mencadangkan pelaksanaan sistem perwakilan berkadar bagi melantik tujuh kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan di Melaka.
"Tujuh ADUN tambahan akan dilantik secara automatik berdasarkan jumlah peratusan undi dimenangi dalam PRN oleh parti-parti bertanding.
"Kerusi berkenaan akan diagihkan berdasarkan peratusan undi popular dan bukan diberikan sepenuhnya kepada parti yang membentuk kerajaan negeri," katanya.
Di bawah Pengukuhan Program Ekonomi Sosio Ekonomi Rakyat, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, lima inisiatif digariskan antaranya mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada perbelanjaan kerajaan negeri disalurkan secara langsung kepada program sosioekonomi rakyat.
"Selain itu, Dasar Peluang Setempat yang akan mewajibkan penilaian impak sosial yang lebih menyeluruh sebelum kelulusan pembangunan diberikan, termasuk pelan peluang pekerjaan tempatan.
"Bagi sektor pendidikan pula, program Kerjasama Peningkatan Sekolah Melaka dilaksanakan dengan membentuk 70 kelompok sekolah yang masing-masing menggabungkan empat hingga lima sekolah, dengan peruntukan Geran Kelompok RM350,000 bagi perkongsian kepakaran, sukan dan latihan guru," ujarnya.
Rafizi berkata, parti itu mempertaruhkan 16 calon daripada pelbagai latar belakang dengan kepakaran dan pengalaman berbeza untuk melaksanakan tawaran berkenaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.