Pemuda UMNO desak audit menyeluruh ke atas Petronas

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menggesa kerajaan melaksanakan audit menyeluruh terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) susulan tindakan penyusunan semula tenaga kerja syarikat itu yang mencetuskan pelbagai persoalan berhubung ketelusan dan kebertanggungjawaban pengurusan tertinggi.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai syarikat milik penuh negara, sebarang keputusan drastik yang melibatkan ribuan pekerja tidak boleh dibuat tanpa semak dan imbang yang telus serta berasas.

Menurut laporan media, Petronas dijangka menamatkan perkhidmatan kira-kira 10 peratus daripada 50,000 kakitangannya dalam proses ‘rightsizing’, dengan sekurang-kurangnya 5,000 pekerja kontrak antara yang paling awal terkesan.

Pengurangan ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kelangsungan operasi jangka panjang syarikat.

Bagaimanapun, Dr Muhammad Akmal menegaskan bahawa langkah tersebut tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan masa depan ribuan isi rumah yang bergantung kepada pekerjaan di sektor minyak dan gas.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyatakan bahawa penyusunan semula itu bukan bermakna pembuangan pekerja secara besar-besaran.

Sebaliknya, beliau menegaskan penyesuaian struktur organisasi dibuat bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Namun, beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membangkitkan isu kebajikan kira-kira 16,000 pekerja yang mungkin terjejas susulan kerjasama strategik antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Justeru, Dr Muhamad Akmal menganggap audit menyeluruh penting bagi memastikan segala proses pengurusan dalaman Petronas berjalan secara adil dan telus selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban terhadap rakyat.