SHAH ALAM - Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempertahankan seruan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan kekuatan politik Melayu di bawah satu kerangka bersama.
Presiden MIPP, S P Punithan turut menyifatkan cadangan Dr Mahathir itu sebagai langkah asas kepada kestabilan negara.
Tambahnya, aspirasi Dr Mahathir itu jelas dan amat difahami pihaknya walaupun seruan beliau mencetuskan pelbagai reaksi.
"Kami ingin ajukan satu soalan jujur. Mengapa perlu takut kepada perpaduan? Perpaduan bukan satu ancaman, sebaliknya ia adalah asas kepada kestabilan politik.
"Untuk Malaysia terus makmur, kestabilan dalam pemerintahan mesti menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Oleh demikian, beliau berpandangan, inisiatif negarawan ulung itu bukanlah satu penolakan terhadap kepelbagaian atau demokrasi, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap realiti politik semasa.
Punithan menambah, MIPP melihat bahawa apabila seorang negarawan seperti Dr Mahathir menyeru kepada penyatuan dalam komuniti, maka perkara itu bukan semata-mata tanggungjawab terhadap bangsa Melayu tetapi juga kepada seluruh negara.
Beliau memaklumkan, suara politik Melayu yang padu dapat menyumbang kepada kepimpinan negara lebih stabil dan berfokus.
"Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak dan mahu kepada kestabilan.
"Kestabilan politik tidak boleh lahir daripada rundingan kuasa berterusan atau perikatan sentiasa berubah kerana perebutan kuasa semata-mata," katanya.
Punithan menegaskan, kestabilan itu mesti lahir daripada mandat yang jelas, kepimpinan dipercayai dan perwakilan tersusun bagi setiap komuniti dalam satu gabungan seimbang.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada nilai perpaduan yang telah lama terbina melalui persefahaman antara kaum dan bukan melalui pertumpahan darah dan peperangan.
"Kekuatan yang kekal itu terletak dalam jalinan unik perpaduannya dengan orang Melayu sebagai majoriti.
"Untuk mana-mana negara majmuk mencapai keamanan dan kemakmuran, perpaduan dalam komuniti majoriti adalah sangat penting," menurutnya.
Dalam perkembangan sama, Punithan mengajak penyatuan masyarakat India di bawah satu platform politik menerusi inisiatif RESET 2027 demi memperkukuhkan suara bersama dan menyumbang secara bermakna kepada kemajuan negara.
Beliau turut menyatakan bahawa MIPP sedia memimpin usaha penyatuan masyarakat India dengan maruah, hormat dan komitmen tidak berbelah bahagi demi masa depan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.