KOTA KINABALU – Keputusan memberikan kuasa penuh kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai pendekatan ‘autonomi strategik’ yang akan memperkukuh jentera parti di negeri ini.
Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menunjukkan keyakinan PH Pusat mengenai kebolehan dan kematangan politik gabungan itu yang kini dipimpin oleh Pengerusinya, Datuk Ewon Benedick.
Menurutnya, keputusan itu turut mengiktiraf keperluan untuk memberi ruang kepada pemimpin tempatan bagi merangka strategi berdasarkan realiti politik dan sentimen rakyat Sabah.
"Pendekatan 'autonomi strategik' itu bukan saja mampu memperkukuh jentera parti, malah membuka ruang kepada parti-parti komponen untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dan kerjasama di lapangan.
"Sabah mempunyai latar belakang politik yang berbeza dan kompleks.
"Justeru, keputusan memberikan kuasa penuh kepada kami membolehkan strategi yang lebih inklusif, tempatan dan berfokus dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kejayaan mesyuarat rasmi Anwar selaku Pengerusi PH bersama pimpinan PH Sabah baru-baru ini mencatat sejarah baharu dalam pentadbiran gabungan itu di peringkat negeri.
"Selaku Pengerusi PH Sabah, Ewon boleh memacu kerjasama strategik di antara parti-parti gabungan khususnya di Sabah.
"Saya percaya Ewon akan mampu menyelaras secara langsung segala persiapan menuju PRN.
"Ini termasuk rundingan dengan rakan-rakan gabungan dan penyusunan strategi kempen," katanya.
Felix turut menegaskan, tumpuan utama kini adalah untuk pembangunan dan kemajuan Sabah, memperkukuh negeri dan menyantuni isu setempat seperti pembangunan luar bandar, kemiskinan, serta hak-hak negeri dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Jadi, Pemuda Harapan Sabah akan menjadi tulang belakang dalam mendekati generasi kini untuk memainkan peranan penting, termasuk dalam rundingan dengan mana-mana pihak yang menghormati dan memperjuangkan hak Sabah.
"Langkah ini adalah sebagai usaha memperkukuh posisi PH di Sabah, menjelang PRN yang dijangka sengit, dengan tumpuan utama diberikan kepada agenda pembangunan, autonomi negeri, dan kebajikan rakyat," ujarnya.